Zakat Sebelum Hijrah
Pada zaman sebelum hijrah, ayat-ayat al-Quran di Mekah telah menyebut tentang zakat tetapi belum difardhukan secara terperinci ; tidak mempunyai ketetapan khusus mengenai kadar, jenis harta, atau golongan penerima.
Contoh ayat :
وَفِیۤ أَمۡوَ ٰلِهِمۡ حَقࣱّ لِّلسَّاۤىِٕلِ وَٱلۡمَحۡرُومِ﴿ ١٩ ﴾
( الذاريات : ١٩ )
“Dan pada harta-harta mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Tujuan : Membantu fakir miskin sama ada yang meminta atau menahan diri.
Contoh Amalan :
•Abu Bakar as-Siddiq menggunakan hartanya untuk membantu orang miskin dan membebaskan hamba seperti Bilal ibn Rabah.
•Khadijah binti Khuwailid banyak menginfakkan hartanya untuk dakwah Islam.
Zakat Selepas Hijrah
Selepas hijrah ke Madinah, zakat diwajibkan secara rasmi pada tahun ke-2 Hijrah. Zakat disyariatkan dengan lebih terperinci mengenai kadar , jenis harta , nisab dan golongan penerima zakat. Pada awalnya, Rasulullah mengagihkannya berdasarkan
ijtihad baginda, namun bantahan golongan munafik membawa kepada penurunan Surah at-Taubah ayat 58-60 yang menetapkan lapan asnaf penerima zakat.
Rasulullah melaksanakan perintah ini secara praktikal melalui sunnah qauliyah (perkataan) dan sunnah fi’liyyah (perbuatan).Rasulullah SAW melantik amil zakat untuk mengutip dan mengagihkan zakat.
Kaedah Pengagihan : Rasulullah hanya memberi zakat kepada golongan yang tergolong dalam lapan asnaf sahaja iaitu ;
1.Fakir
2.Miskin
3.Amil
4.Mualaf
5.Al-Riqab (hamba)
6.Al-Gharimin
7.Fi Sabilillah
8.Ibnussabil
Sumber Khas: Zakat diletakkan di bawah peruntukkan khas tidak bercampur dengan belanjawan negara dan diagihkan mengikut ayat yang telah disebutkan di dalam al-Quran.
Pengurusan Zakat: Rasulullah tidak pernah menyimpan harta zakat; ia diagihkan sehingga habis.
Zakat Pada Zaman Khulafa Ar-Rasyidin
Selepas kewafatan Rasulullah صلى الله عليه وسلم para Khulafa’ ar-Rasyidin meneruskan amalan Baginda dalam pengagihan zakat.
Zaman Abu Bakar as-Siddiq رضي اللّه عنه mengagihkan semua harta zakat tanpa disimpan dan memerangi golongan yang enggan membayar zakat (Perang Riddah). Menegaskan zakat ialah kewajipan negara dan agama.
Pada zaman Umar ibn al-Khattab رضي اللّه عنه memimpin ketika wilayah Islam semakin meluas hingga Rom dan Parsi,hasil zakat meningkat dan baitulmal penuh. Beliau memperkenalkan dasar agar semua harta baitulmal diagihkan sepenuhnya pada akhir tahun.
Pada zaman Uthman bin al-‘Affan رضي الله عنه hasil negara daripada sumber zakat dan sumber lain semakin meningkat selari dengan pertambahan umat lslam. Beliau melantik Zayd bin Thabit رضي اللّه عنه menguruskan baitulmal dan memastikan supaya zakat diagihkan mengikut maslahah umat Islam.